Soalan di atas sering ditanya oleh bakal ibu yang ingin menimang cahaya mata. Terdapat beberapa petunjuk fizikal atau tanda-tanda kehamilan yang boleh menentukan samada wanita itu bakal mengandung atau tidak.
Berikut adalah 10 tanda tanda hamil yang memberikan petunjuk samada wanita itu hamil serta simptom-simptom mengandung.
1. Mengidam
Ya, bunyinya seperti klise, tetapi mengidam kadang kala boleh jadi satu tanda kehamilan. Jangan bergantung kepadanya sebagai simptom yang pasti (ia mungkin hanya di kepala anda, atau mungkin juga tanda bahawa badan anda kekurangan nutrien tertentu), tetapi jika mengidam itu diikuti dengan beberapa simptom lain dalam senarai ini, mulalah mengira hari daripada hari pertama haid terakhir anda.
2. Warna areola menjadi gelap
Jika kulit di sekeliling puting payudara anda menjadi lebih gelap, ini mungkin bermakna proses persenyawaan telah berjaya.
Walau bagaimanapun, ini mungkin juga tanda ketidakseimbangan hormon yang tidak berkaitan dengan kehamilan, ataupun bekas daripada kesan kehamilan terdahulu.
3. Pendarahan dan rasa kekejangan (cramp)
Selain itu, tanda-tanda hamil yang lain adalah, dalam masa 1 atau 2 minggu sebelum tarikh haid anda, mungkin akan berlakunya sedikit pendarahan sekadar beberapa titik yang dinamakan pendarahan implantasi.
Ketika proses ini, sedikit pendarahan adalah normal dan tidak merbahaya. Anda juga mungkin akan merasa sedikit ‘cramp’ pada bahagian rahim atau perut.
4. Kerap membuang air kecil
Sebaik sahaja embrio melekat dan mula menghasilkan hormon human chorionic gonadotropin (hCG), anda mungkin mendapati anda perlu membuang air kecil lebih kerap. Jadi jika anda kerap ke tandas untuk membuang air kecil, itu mungkin tanda kehamilan anda.
Panduan asas tentang kehamilan, kelahiran dan penjagaan awal bayi. Setiap peringkat kehamilan, juga setiap perkembangan dan perubahan fizikal ibu dan bayi dilakarkan dan diterangkan dengan lengkap dan terperinci.
Permasalahan yang mungkin berlaku, pemeriksaan antenatal, pemakanan, senaman dan perkara yang patut dan tidak patut dibuat semasa mengandung dihurai dengan mudah dan jelas.
Penjagaan bayi dan diri ibu selepas bersalin juga dijelaskan dan diakhiri dengan panduan beberapa kaedah perancangan keluarga.
Panduan yang menarik dan penting untuk bakal ibu bapa boleh didapati di Shopee: Buku Ibu Dibelai Anak Dibuai
5. Keletihan
Berasa letih? Bagaimana kalau sangat letih? Tahap hormon progesteron yang tinggi boleh membuatkan anda berasa seperti baru selesai berlari maraton sedangkan anda hanya bekerja seharian di pejabat.
Keletihan adalah tanda-tanda penting awal kehamilan, walaupun ia mungkin bukanlah simptom yang pasti tanpa kehadiran simptom-simptom lain.
6. Payudara melembut dan membengkak
Sebelum kedatangan haid, payudara anda mungkin menjadi begitu sensitif terhadap sentuhan, dan jika anda hamil, perkara yang serupa akan berlaku, tetapi pada tahap yang lebih sedikit. Apabila badan anda telah biasa dengan peningkatan hormon ini, kesakitan akan hilang.
7. Deria rasa berubah
Anda mungkin perasan perubahan pada deria rasa anda. Sesetengah wanita mengatakan mereka merasa sedikit payau di mulut, dan sesetengah yang lain mengatakan mereka tidak dapat tahan rasa kopi, teh atau makanan yang biasanya mereka suka.
8. Mabuk hamil pagi
Jika anda bernasib baik, anda tidak akan mengalami mabuk hamil pagi (morning sickness) sehingga beberapa minggu selepas persenyawaan. (Sesetengah wanita yang sangat bertuah tidak mengalaminya langsung.)
Tetapi seawal dua hari selepas persenyawaan, anda mungkin mula berasa loya dan tidak sedap perut. Dan ini bukan sahaja berlaku pada waktu pagi. Loya akibat kehamilan boleh jadi berlaku pagi, petang atau malam.
9. Tidak datang haid
Jika haid anda biasanya teratur dan kini ia lambat, elok juga jika anda buat ujian kehamilan. Tidak datang haid ialah tanda kehamilan yang paling pasti bagi seorang wanita yang telah baligh dan yang mempunyai kitaran haid yang teratur. Biasanya tanda-tanda hamil yang paling jelas adalah, lewat datang haid.
10. Ujian kehamilan yang positif
Jika anda telah menunggu untuk membuat ujian kehamilan sekurang-kurangnya sehingga hari pertama anda tidak datang haid dan garisan biru kelihatan dalam kotak alat penguji, anda sangat pasti akan menjadi seorang ibu. Buatlah temu janji dengan doktor anda untuk memastikan berita baik ini.
Demikianlah beberapa tanda-tanda hamil yang boleh dijadikan panduan bagi wanita. Dengan pengetahuan daripada artikel, diharapkan bakal ibu akan mendapat manfaat yang berguna apabila tiba waktu kehamilan kelak.